Thursday, January 24, 2013

Himpunan rasa

Assalamualaikum wahai umat paling beruntung junjungan Nabi Muhammad s.a.w.

Nota ini adalah luahan sanubari semata- mata. Tiada kepentingan untuk ditatap.

Kesimpulannya sahabat, aku ini menjadikan hidup seorang Muslim itu susah di matamu. Akalmu yang selama ini mengajar dirimu bahwa Islam itu mudah berubah apabila kamu bersamaku, dan perubahan itu kamu maklumkan padaku- tidak mampu kau ikuti sepenuhnya.

Aku tak pernah menyoal, "Sahabat, mengapa kau tidak menjadi sepertiku?". Lalu aku bingung apabila kamu menyatakan rasa lemahmu dan rasa tercabarmu oleh tindak- tandukku, yang pada kamu tidak termampu disaingi. Aku laksanakan kerna Dia, aku tak sekali meminta kamu meniruku, sebaliknya aku memaklumkan kerana aku tahu tujuan kita satu: syurgaNya.

Kerna aku faham hasrat kita bersama ingin menempah syurgaNya, rasa terkilan dan hairan ku terbit pabila apa sahaja yang aku lakukan kau konklusikan sebagai 'bukan seperti Islam yang selama ini kau pandang sebagai agama yang mudah'. Sungguh, aku tidak mengerti aspek yang mana yang kau maksudkan wahai sahabat.

Saidina UmarAku tidak pernah meletakkan maruahmu sebagai gadaian, malah aku rela kau membenciku saat aku menegurmu asalkan auratmu kamu usahakan menjadi redha Allah .
Aku tidak pernah meletakkan nyawamu dalam risiko menghunus pedang menentang musuh.

Tidak. Tak pernah. Cuma aku selalu mengajakmu melawan nafsu. Jihad zaman ini adalah jihad melawan nafsu kita, kita sendiri. Di mana yang susahnya wahai sahabat andai benar tujuan kamu adalah semata- mata redhaNya?

Akal anugerah Allah yang Maha Memudahkan ini aku cuba gunakan sebaik mungkin untuk berfikir tentang jalan terbaik supaya redhaNya milik kita dan murkaNya jauh dari kita. Kalau ini menurutmu menjadikan Islam itu tidak sesenang sangkaan kamu- maka padaku, apalah perlunya akal yang dikurniakan kepada kita semua kalau bukan demi memerah fikiran mencari jalan melaksanakan apa yang Dia sukai?

Kita selalu sibuk menggunakan akal cetek kita menjadi pelajar cemerlang, sahabat sejati yang menceriakan, anak solehah yang taat dan berjasa- lalu di mana sukarnya di saat akal ini juga aku gunakan untuk menjadi ahli syurga?

Aku keliru ketika aku bersetuju untuk melepaskan pimpinan tangan kita yang erat selama ini. Tidak pernah aku duga bahwa usaha kita menempa nama sebagai ahli- ahli syurgaNya kau labelkan sebagai sukar dan di luar batas mampumu untuk kau teruskan.

Aku perlu memohon maaf padamu kerna kedhaifanku memaparkan yang Islam itu indah, jadi padaku apa peri pentingnya andai ia benar sukar?

Syurga adalah kepercayaan orang mukmin sebagai suatu yang di luar jangkauan- hanya Allah yang memiliki kudrat untuk menganugerahkan. Aku percaya itu. Aku yakin kamu berkongsi kepercayaan serupa. Tapi bila kau bertindak menyatakan rasa hatimu yang perjuangan kita adalah suatu yang sukar, aku kira itu adalah kegagalanku menyebarkan keindahan Islam, kerna tiada satu pengorbanan skalipun yang patut dirasakan sukar andai syurga yang ditagih! Ahli keluarga Nabi Muhammad s.a.w.

Allah itu Maha Mengetahui. Allah memandang pada usaha, dan kau perlu percaya kekuatan itu anugerahNya, bukan kemampuan dirimu untuk menjadi taat tanpa izinNya. Jangan bandingkan dirimu dengan sesiapa pun, kerna stiap hamba Dia kenali- lalu kalah menangmu dia fahami sebagai kepunyaanmu tanpa perlu dibandingkan dengan yang lain. Kalau kamu melihat yang lebih baik darimu, itu bukti kebesaranNya memberi mampu dan kalau kamu melihat yang kurang baik darimu, itu juga bukti kebesaranNya: kerna Dia tidak suka kamu berputus asa. Lalu paksalah dirimu menjadi yang lebih baik sebagai bukti satu usaha, bukan menjadi baik mengikut sesedap rasa. Di situlah kepahitan perjuangan yang manis rasanya, andai kau tahu untuk apa kamu lakukannya.

Aku tidak marah kepadamu, tapi aku sangat benci kepada diriku sendiri atas kegagalan membantumu berusaha lebih gigih sebagai hambaNya. Pergilah kamu mencari sahabat yang jauh lebih layak sebagai teman menuju ke syurgaNya. Doaku untukmu insyaAllah masih sama, tapi mungkin jodoh persahabatan mentakdirkan kau untuk serasi denganku sekejap cuma.

Aku benar- benar memohon agar kamu susuri perjalanan hidup Baginda, ahlul bait serta para sahabatnya yang setia. Pernahkah mereka merungut bahawa Islam itu sukar dan meminta Rasulullah untuk mengurangkan penderitaan mereka? Malah segalanya diserahkan, wang, nyawa, keturunan, hatta kebebasan tanpa perlu dipaksa atau ditanya, kerna manis iman dalam Islam itu telah mereka kecapi, lalu apalah yang ada pada pengorbanan kita yang sekelumit cuma.

Semoga bertemu di syurgaNya yang abadi, amin.




No comments:

Post a Comment