Wednesday, November 14, 2012

Ia Menitis. Lagi.

Assalamualaikum. Salam Maal Hijrah para khalifah Allah. Semoga tahun baru ini memberi aspirasi terindah untuk jihad anda lebih mantap. 

Kali ini rasa jiwa secara eksklusif digarapkan kepada teman yang dikurniakan Allah untuk ketawa dan menangis bersamaku. 

Tadi ia menitis lagi
Aku yakin perkara yang serupa kau alami
Tepat detik yang sama
Tepat lokasi yang sama
Tepat kiblat yang sama

Aku sayang Dia
Kau sayang Dia
Tapi kita tak perlu khuatir akan terpinggir
Sebab Dia Maha Luas Maha Adil
Kau dapat
Aku dapat

Tatkala ia menitis
Betapa indah titisan yang suam menyentuh kulitku
Terlebih indah menyentuh hatiku
Aku yakin gelora yang serupa kau rasai
Yang pada imbanganku
Titisan itu lebih mahal dari dunia dan apa juga yang ia hamparkan
Aku yakin kau setuju

Ketahuilah sahabat
Aku ini kelu dihadapanmu
Tapi harapanku besar terhadapmu
Sebesar kasih sayangku terhadap rakan pejuang kita yang lain
Walau tidak mampu aku zahirkan
Kerana aku ini insan bukan Nabi junjungan mulia

Bantulah aku sahabat
Bangunkan ketika aku terlelap dari mengingatiNya
Terkam aku ketika aku derhaka dalam nikmatNya
Dengan ingatan kepada Al- Quran & SunnahNya

Kerana yang dua itu
Cukup bagiku
Cukup bagi sahabat
Cukup bagi orang lain


Tuesday, November 13, 2012

Keyakinan Utama & Pertama

Assalamualaikum para perinduNya. Semoga kerinduan dan amalan bertambah sebagai bukti cinta kita.

Kepada: Tuan Pemilik Rasa Kerdil
Dari: Cik Pemilik Rasa Yakin

Soalan pertama itu darimu. Tetapi buat diriku bukan julung- julung kali. Keyakinanku dari dan untukNya. Maka tak perlu kau menjadi takut andai yakinku itu kurang selari dengan kemampuanmu. Ringkasnya, kemampuan para hamba di sekelilingku tak mengganggu gugat yakinku. Hanya satu yang aku pohon, agar setulus hatimu juga kau serahkan yakinmu padaNya. Betapa indah keyakinan dua hamba yang bersatu dalam restu. Semoga kita sentiasa dalam pemeliharaanNya. Walau aku tanpamu. Walau kau tanpaku. 

Kagum aku terhadapmu semakin menebal. Betapa kau yang merasa kerdil dipandang mulia oleh orang yang melihatmu. Betapa rasa kerdilmu mengangkat darjatmu di mata manusia sedang itu bukan yang kau pinta, melainkan reda dariNya. Aku jadi cemburu padamu dari seorang hamba kepada hamba lain. 

Biar aku tunggu saat dan ketika
Kalau tak di sini kau pasti milikku di sana
Biar sabar itu ku raih dulu sebelum kuraih mu
Biar yakin itu ku balut kemas sebelum ku hampiri mu
Biar bahagia ini teruji sebelum aku membahagiakanmu
Biar aku tahu betapa mahal cintaNya sebelum aku berkongsi cintamu
Biar aku nikmati kerinduan padaNya sebelum aku menjadi kekasihmu
Biar kita tenggelam dalam kehambaan kita padaNya, sebelum kita mendapatkan kita

Pintalah. Ikhlaskanlah. Panjangkanlah kesabaran. Pasrahlah. Agar iman semakin terasa, agar cinta tetap terpelihara. 




Saturday, November 10, 2012

Tangisan Kesyukuran

Kepada: Pencinta yang setia padaNya, insyaAllah
Dari: Pencinta hamba yang teruji

Sejak kau hadir
Walau kaitanmu denganku belum terwujud 
Syukurku dah mulai teruji dan diuji

Alhamdulillah
Banyak Alhamdulillah
untuk Dia
yang meraih kesyukuran aku sebagai hamba dalam tangisan

Kepada Sahabat peneman jiwa
Kepada Mak Cik pencerah akal dan rasa
Ilmu dan nasihat ukhti insyaAllah aku sebarkan

Aku kira diammu satu ujian
Aku kira gerakmu juga satu ujian
Dan kerana aku ini seorang Hawa
Aku teruji dalam penantian

Teruji keyakinan padaNya
Teruji kesabaran untukNya
Teruji keikhlasan mempertahankan maruah cintaku untukNya


Kadang bila direnung dalam- dalam
Aku jadi pelik dan jelik
Dengan hawa nafsuku
Yang tingginya tidak tinggi
Yang rendahnya MasyaAllah



Syukurku akan hadirmu
Telah membuatkan jiwa hamba ini bertaqarrub denganNya 
Hingga semua yang pahit menjadi gula
Semua yang kelam menyinar bagai mentari pagi
Semua yang berselirat terbentang rapi

Maka jika hadirmu takdirnya sebagai tetamu
Aku kekal punya Dia raja hatiku
Maka jika hadirmu takdirnya sekejap cuma
Aku tetap punya Dia 

Tetaplah atau meminggirlah kamu, aku akan selalu bahagia dengan Dia. 

Thursday, November 8, 2012

Basa- Basi Rasa Jiwa(Hatiku bukan pualam)

Assalamualaikum kepada para penuntut ilmu yang cintakan pencerahan, semoga terus sabar dan bersungguh dalam perjalanan mencari ilmuNya.

Kepada ukhti yang dimuliakan Allah, Nor Afiqah Hazwani, luhur budimu dan indah peribadimu selalu aku cemburui lagi aku kagumi.

Diturunkan baginda S.A.W. sebagai penyempurna akhlak manusia, dan aku lihat akhlakmu itu sesuai dengan saranan baginda. Bicaramu tidak pernah menyakitkan, malah sering kali mempesona hati manusia lain. Senyum yang tidak pernah kering dari wajahmu, yang aku yakin tanda zahir tulusnya hatimu. Semoga akhlakmu dapat aku contohi, seperti juga akhlak baginda yang telah memenangi tidak terkira banyaknya jiwa manusia lain.

Aku ini keras orangnya
Tidak pantas aku menyalahkan didikan yang membesarkan aku sejak usia setahun jagung
Melainkan aku sendiri yang perlu mengubah nasibku
Mengubah kerasnya aku

Aku ini keras di luar
Acap kali jika kau menjentik nuraniku
Akan melelehlah air mataku
Sederas sungai yang mengalir di kaki bukit

Maka hari ini semasa aku khusyuk mendengar di dalam sebuah majlis ilmu
Maka sebelum hari ini juga setelah aku melayari sesawang tentang rahsia akhlak terpuji baginda
Ku kira aku ini orang yang merugi
Selayaknya muslimah yang mengharap jannahNya tidak seharusnya kasar, walaupun di luar hanya

Buat Papa yang selalu menjadi mangsa pekertiku yang jelik ini,
Aku sedang mencuba, malahan setiap masa dan ketika aku selalu mencuba,
Untuk melayanimu dengan lemah- lembut
Kesedaranku masih tinggi bahawa kasarku itu melukankanmu
lalu nerakalah tempat anak yang melukakan Papanya

Ya Latif, Yang Maha Lemah Lembut, lembutkanlah hatiku. Aamiin.


Tuesday, November 6, 2012

Di Mana Dia Di Hati kita

Assalamualaikum wahai para pengembara berhati waja, semoga kita selamat sampai menujuNya...

In the name of Allah the Most Exalted Most Loving, peace be upon Al- Muallim Muhammad s.a.w. Enjoy~

Bila Dia hilang dari hati
Pergilah ke timur ke barat
Rentaslah ke utara ke selatan
Takkan kau temui teman pengganti
Sekufu Dia

Bila Dia kau letak ke tepi
Usahlah merayu pada para hamba yang kalaupun sudi
Bukan kudrat mereka untuk memberi
Tetapi Dia yang kau alpa telah mewujudkan hari ini

Ke mana kau melangkah
ke kampung ke bandar
ke bulan sekalipun
Jangan pinggir Dia dari hatimu

Kerana bila akhirnya Dia di depanmu
tidak ditemui dalam hatimu yang sia- sia
kecuali Dia

p/s: Tuhan... leraikanlah dunia
       yang mendiam di dalam hatiku
       kerana di situ tidak ku mampu
       mengumpul dua cinta
       hanya cintaMu ku harap tumbuh
       dibajai bangkai dunia yang kubunuh
(Raihan, Antara Dua Cinta)